Kamis, Juli 28, 2011
0
KINABALU-(IDB) : Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Darul Ehsan Sultan Sharafuddin Idris Shah AlHaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah AlHaj yang juga Kepten Yang Dipertua TLDM telah sudi mencemar duli untuk turut sama hadir menyaksikan ujian penembakan misil  TLDM di perairan Sabah semalam. Turut sama hadir pada  sesi penembakan tersebut ialah Timbalan Panglima Tentera Laut; Laksamana Madya Datuk Mohammed Noordin bin Ali berserta Panglima-panglima TLDM.

Dalam penembakan pagi tadi, Kapal Diraja (KD) LEKIR di bawah pemerintahan Komander Azman bin Rabani TLDM telah berjaya melancarkan misil EXOCET MM40 diikuti dengan penembakan misil SEA SKUA oleh helikopter Super Lynx dari Skuadron 501 yang diperintah oleh Komander  Ajazi bin Jamaluddin TLDM. Kedua-dua misil telah berjaya memusnahkan sasaran permukaan yang merupakan sebuah Surface Target Barge. Manakala KD LEKIU di bawah pemerintahan Komander Yusne bin Mokhtar TLDM pula berjaya melancarkan misil SEAWOLF  yang tepat mengenai sasaran tunda udara.



Kejayaan siri penembakan yang dilaksanakan di perairan Sabah ini telah melakar sejarah yang ekslusif apabila ia disaksikan oleh Kepten Yang Dipertua TLDM sendiri. Objektif penembakan ini adalah untuk menguji kefungsian sistem dan keupayaan misil dalam inventori TLDM di samping meningkatkan kecekapan anggota dalam mengekalkan keupayaan aset TLDM secara berterusan.

Sebagai langkah dan usaha ke arah penjimatan, ujian penembakan ini telah dilaksanakan berkesinambungan selesai Operational Sea Training Excercise atau OSTEX 2011 yang mengintegrasikan sembilan buah kapal TLDM, dua buah kapal selam dan empat helikopter TLDM dari Markas Armada di Lumut, Markas Wilayah Laut 1  di Kuantan dan Markas Wilayah Laut 2  di Kota Kinabalu yang berlangsung mulai 15 hingga 21 Julai di perairan yang sama. Latihan penembakan kali ini juga mendapat kerjasama dari Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang menugaskan pesawat udaranya sebagai elemen bantuan dalam pembersihan kawasan penembakan dan kawalan udara.

Secara keseluruhannya, kejayaan penembakan ini membuktikan bahawa TLDM dan TUDM serta unit-unit yang terlibat sentiasa  berada dalam keadaan tahap siaga yang tinggi, terlatih dan mampu melaksanakan tanggungjawab untuk mempertahankan tanah air apabila diperlukan. 
 
Sumber: MalaysiaNavy

0 komentar:

Posting Komentar