Senin, Agustus 25, 2014
0
ALOR SETAR-(IDB) : Pusat Latihan Terbang 1 (PLTB1) milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Kepala Batas, di sini, dijangka menerima tambahan lima pesawat latihan baharu, sekali gus memantapkan keupayaannya dalam melatih dan menghasilkan bakal juruterbang negara.
 
Lima pesawat berkenaan ialah Pilatus PC-7 MK II yang dipertingkatkan daripada model PC-9 yang dijangka mula digunakan selewat-lewatnya penghujung 2015.
 
Panglima Tentera Udara, Tan Sri Rodzali Daud, berkata buat masa ini PLTB1 masih menggunakan pesawat sedia ada dan penerimaan pesawat baharu itu nanti bukannya untuk tujuan gantian, sebaliknya untuk penambahan kepada kapasiti pesawat sedia ada.
 
"Pada masa ini PLTB1 memiliki lebih 40 pesawat membabitkan PC-7 Turbo Trainer dan PC-7 MK II yang digunakan untuk melatih antara 40 hingga 60 pelatih untuk satu sesi pengambilan pelatih yang memakan masa kira-kira setahun.
 
"Justeru, sebagai penambahan kita akan terima lima lagi pesawat model PC-7 MK II yang dipertingkatkan dari beberapa sudut penting latihan yang kita kira akan membantu meningkatkan keupayaan PLTB1 pada masa akan datang," katanya ketika ditemui pada Majlis Sambutan Jubli Emas Sempena Ulang Tahun Ke-50 PLTB1 di Kolej Tentera Udara (KTU) di Kepala Batas, di sini.
 
Turut hadir, Bekas Panglima Tentera Udara, Tan Sri Sulaiman Sujak dan Bekas Pegawai Memerintah Pertama PLTB1, Group Captain John F Woodard, yang bertugas ketika awal penubuhan PLTB1 pada 1964.
 
Sempena majlis itu, persembahan akrobatik pesawat Sukhoi SU-30MKM milik TUDM diadakan sebelum disusuli pameran statik pesawat pelatih yang pernah digunakan PLTB1.
Turut diadakan, pelancaran buku Jubli Emas PLTB1 dan pelancaran 'Time Capsule' untuk PLTB1.




Sumber : BeritaHarian

0 komentar:

Posting Komentar